BERITA UTAMASELANGOR

Kerjasama Kerajaan Persekutuan rancakkan perkhidmatan bas percuma

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 13 JUN: Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji perancangan pengangkutan awam yang mencukupi, selamat dan strategik serta komprehensif.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, rancangan itu bagi merancakkan lagi pengangkutan awam di negeri itu supaya berjaya mencapai nisbah 60:40 pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian.

Katanya, ia membabitkan perkhidmatan bas percuma yang menyeluruh di semua laluan dalam memberi kemudahan itu kepada rakyat.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan menerima respon positif.

“Kami membincangkan mengenai Pelan Induk Pengangkutan Awam yang menyeluruh, lebih lagi berkenaan perkhidmatan bas percuma.

“Kita mahu perkhidmatan bas percuma ini dinikmati semua penduduk dan mewujudkan banyak laluan lain,” katanya kepada SelangorKini ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Datuk Bandar dan Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan Selangor (PBT).

Sze Han berkata, Kerajaan Negeri ketika ini menghadapi kekangan untuk menambah bilangan bas di semua laluan lain.

Sebagai contoh katanya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mempunyai pelan induk sendiri mempunyai lebih 100 laluan.

“Oleh itu, PBT lain juga memerlukan lebih banyak laluan seperti itu dan ini memerlukan kerjasama di peringkat Persekutuan.

“Kerajaan Negeri perlu melengkapkan kerjasama ini dengan peringkat swasta untuk memberikan tender penyediaan bas percuma kepada pihak lain,” katanya.

=EZY=


Pengarang :