KUALA LUMPUR, 13 JUN: Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) berkongsi panduan buat pengguna menghadapi kesesakan rangkaian telekomunikasi pada waktu puncak ketika hari raya Aidilfitri nanti.
“Penggunaan rangkaian komunikasi kita boleh ibaratkan seperti menggunakan jalan raya atau lebuh raya.
“Pada hari-hari biasa, kapasitinya mencukupi untuk digunakan oleh semua tetapi apabila musim perayaan, lebih banyak kereta akan menggunakan jalan yang sama dan ini akan menyebabkan kesesakan terutamanya di kampung-kampung,” kata Pengerusi CFM Mohamad Yusrizal Datuk Yusoff.
Bagaimanapun, beliau yakin semua penyedia perkhidmatan akan terus memastikan masalah gangguan perkhidmatan berlaku pada tahap minimum atau tidak ada sama sekali.
Antara masalah yang mungkin dihadapi pengguna telefon mudah alih ekoran kesesakan rangkaian ialah penurunan kelajuan data, gagal membuat panggilan atau panggilan terputus, masalah mesej tidak dapat dihantar atau diterima dan rangkaian menjadi terbeban disebabkan peruntukan aplikasi data yang banyak seperti perkongsian foto dan video.
Antara panduan yang diberikan CFM dalam kenyataannya ialah; pengguna menukar sokongan data mudah alih kepada rangkaian 3G atau 2G berbanding 4G/LTE; mengehadkan panggilan telefon jika tiada kes kecemasan dengan cara menghantar teks sahaja; elak menggunakan aplikasi yang memerlukan peruntukan data yang banyak seperti perkongsian foto dan video, terutama sekali memuat naik video HD atau penstriman video.
Selain itu, pengguna juga boleh menyah-aktifkan kemaskini atau penyelarasan data (data sync) secara automatik pada aplikasi lain. Contohnya, aplikasi e-mel dikemaskini secara automatik yang boleh memperlahankan penggunaan data oleh aplikasi-aplikasi lain untuk mengakses rangkaian.
Pengguna juga disarankan menggunakan Wi-Fi berbanding penggunaan rangkaian selular jika ingin membuat panggilan video; memastikan bateri telefon tidak hampir kosong dan menutup dan membuka semula telefon jika masih mengalami masalah yang sama.
CFM memainkan peranan penting untuk melindungi hak-hak pengguna di dalam industri komunikasi dan multimedia. Pengguna boleh menyalurkan aduan yang tidak diselesaikan oleh penyedia perkhidmatan kepada CFM melalui emel di [email protected] atau melalui aplikasi MY Mobile Rights yang boleh dimuat turun dari Google Play Store atau App Store.
SUMBER: BERNAMA