SELANGOR

Ketua Polis Shah Alam meriahkan program Jom Sahur

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 JUN: Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib memeriahkan program Jom Sahur yang diadakan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

Program itu bertujuan menghargai pengorbanan anggota polis yang bertugas sepanjang Ramadan samada di lapangan mahupun balai polis di daerah ini.

Selain itu, program Jom Sahur juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara anggota polis dan masyarakat setempat dalam menangani kes jenayah.

Program Jom Sahur itu berlangsung dari jam 2.30 pagi sehingga jam 6 pagi yang turut disertai Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi dan Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritendan Nek Zaidi Zakaria serta ketua-ketua bahagian.

Manakala, 89 wakil komuniti setempat yang terdiri daripada Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk di bawah pentadbiran Balai Polis Shah Alam serta 10 orang dari Shah Alam Bikers turut terlibat dalam program berkenaan.

Sementara itu, lokasi agihan juadah Jom Sahur diadakan di tiga lokasi sekatan jalan raya antaranya di Dataran Shah Alam Seksyen 13; Persiaran Budiman Seksyen 25 dan Persiaran Budiman Seksyen 6.

Lokasi lain pula adalah di Balai Polis Taman Sri Muda; Balai Polis Seksyen 6 dan Masjid Kristal Seksyen 7.

Pada masa sama, ACP Baharudin turut mengucapkan selamat berpuasa dan menyeru kepada seluruh anggota polis terutamanya supaya menunjukkan sikap profesional dalam melaksanakan tugas harian serta berdoa supaya segala usaha diberkati sekali gus berakhir dengan kecemerlangan.

Akhir program, beliau bersama rombongan singgah di Masjid Kristal Seksyen 7 untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

Seusai solat, beliau turut berkesempatan menyampaikan ucapan mengenai Ops Selamat dan pencegahan jenayah kes kecurian kenderaan serta pecah rumah.

ACP Baharudin menasihatkan supaya masyarakat sentiasa menjaga keselamatan rumah, kenderaan dan barangan berharga apabila mahu meninggalkan kediaman untuk bercuti sempena musim perayaan.

=EZY=


Pengarang :