SELANGOR

Keunikan, tema filem jadikan rumah terbuka PTDK meriah

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 30 JUN: Tema ‘Filem’ dipilih oleh Pejabat Tanah Daerah Klang (PTDK) untuk meraikan Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Dewan Serbaguna PTDK, di sini, semalam.

Pegawai Daerah Tanah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, tema itu dipilih bertujuan memberi kelainan sambutan perayaan yang sering kali disambut dengan masing-masing berpakaian raya.

“Kali ini kita cuba tampilkan kelainan dengan setiap kakitangan dari jabatan masing-masing mengenakan pakaian mengikut tema ‘Filem’ sambil menghiburkan tetamu yang hadir.

“Jika di tempat lain seringkali juadah bufet disediakan namun berbeza dengan Sambutan Rumah Terbuka PTDK, setiap kakitangan mengikut jabatan akan membuka gerai serta menghias tema ‘Filem’ yang dipilih sambil menyediakan juadah kepada para tetamu di depan mata mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Zainal berkata, antara tema “Filem” yang ada adalah Bawang Putih Bawang Merah, Kuch Kuch Hota Hai, Ali Baba Bujang Lapok dan Pontianak Harum Sundal Malam.

Menariknya, Mohd Zainal berkata, paling menggembirakan apabila setiap kakitangan sanggup tidak mengenakan baju raya mereka dan bersetuju berpakaian mengikut tema filem.

Selain itu, katanya, bagi memeriahkan lagi majlis itu, turut disediakan lebih daripada 15 gerai dengan pelbagai juadah raya.

“Antara juadah yang disediakan adalah nasi impit, kuah kacang, sate, laksa, ayam gunting, nasi hujan panas, buah-buahan tempatan dan pelbagai jenis minuman serta kuih-muih disediakan kepada para tetamu yang hadir,”katanya.

Difahamkan, lebih 2,000 peserta memeriahkan acara Sambutan Rumah Terbuka itu dengan masing-masing terdiri daripada pelbagai agensi syarikat dan pelanggan PTDK.

Selain itu, Mohd Zainal turut berkesempatan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Malah, Sambutan Rumah Terbuka itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani.


Pengarang :