SELANGOR SUKANKINI

Kontinjen Selangor siap sedia ke SUKMA 2018

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 JUN: Seramai 679 atlet Kontinjen Selangor bersiap sedia menghadapi cabaran untuk bertanding dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 ke-19, di Perak Darul Ridzuan, pada 12 hingga 22 September ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohd Zubir Idrus berkata, pihaknya bersedia menghantar wakil bagi 428 acara daripada 29 jenis sukan, setelah proses latihan secara menyeluruh dilaksanakan sejak setahun setengah yang lalu.

“Kita tidak hanya sasar pada sukan tertentu tetapi membuat persediaan menyeluruh.

“Latihan yang dijalankan juga merangkumi empat fasa dengan fasa pertama bermula sejak Oktober 2016 dan April lalu memasuki fasa terakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Persediaan Kontinjen Selangor ke SUKMA 2018, di Dewan Sri Bestari, INTEKMA Resort, malam tadi.

Majlis itu dilancarkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pembangunan), Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim mewakili Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari.

Beliau berkata, program itu antara inisiatif persediaan terakhir bagi meningkatkan kekuatan mental, fizikal dan motivasi setiap atlet serta 183 pegawai yang akan membawa perjuangan itu, di SUKMA.

Dalam majlis sama, MSN turut melantik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri sebagai bapa angkat pasukan yang berperanan memudahkan pelarasan serta meringankan beban pasukan dalam membuat persediaan menghadapi kejohanan.

Pada masa sama, Mohd Zubir berkata, MSN turut melantik Dato’ Mohd Yasin Mohd Salleh bagi mengetuai kontinjen Selangor.

“Kita berharap dengan pelantikan beliau, kontinjen dapat meneruskan usaha mempertahankan kejuaraan dan beraksi dengan semangat juang tinggi,” katanya.


Pengarang :