NASIONAL

KPKT beri tempoh 3 bulan warga asing keluar dari PPR

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi tempoh selama tiga bulan untuk pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) mengeluarkan warga asing yang menyewa dirumah mereka.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, sekiranya pemilik gagal mengosongkan premis berkenaan dalam tempoh tersebut, tindakan pengusiran terhadap penyewa warga asing akan dijalankan dan pemilik bakal berdepan penalti dan hak pemilikan rumah ditarik balik.

“Rumah rakyat untuk rakyat. Jadi kita beri tempoh tiga bulan untuk penyewa warga asing keluar dari unit-unit PPR.

“Jika gagal, pemilikan rumah boleh ditarik balik,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida berkata, penguatkuasaan tersebut dilaksanakan bagi memastikan rakyat tempatan diberi keutamaan mendapatkan rumah selain masalah isu setempat ditimbulkan warga asing yang menduduki kawasan terbabit.

“Unit PPR dibina bagi kemudahan rakyat. Jangan ambil kesempatan dan jangan ambil hak rakyat yang lebih memerlukan.

“Tiada keistimewaan untuk kroni atau mengikut acuan parti politik. Saya tegaskan, PPR untuk semua rakyat yang layak, tanpa diskriminasi,” katanya.

Pada masa sama, KPKT juga mahu mengawal isu harga sewa di kawasan berkenaan kerana dimaklumkan kebanyakan warga asing akan menawarkan kadar yang lebih tinggi berbanding rakyat tempatan.

=EZY=


Pengarang :