NASIONAL

KPKT hapus ‘projek bertindih’ – Zuraida

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 2 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menghapuskan sebarang bentuk projek mega di bawah kementerian itu sebelum ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, langkah itu dibuat bagi mengurangkan kos operasi dan lebihan perbelanjaan yang diurus pentadbiran terdahulu, sebelum ini.

“Di peringkat Kementerian KPKT khususnya, kos-kos operasi ini kita percaya boleh dikurangkan menerusi pemansuhan beberapa projek bertindih yang dirasakan tidak perlu.

“Justeru penyelarasan perlu dibuat supaya tidak wujud sebarang bentuk pertindihan yang menyebabkan Kerajaan terpaksa berbelanja lebih.

“Jika ia dilaksanakan, kita boleh kumpulkan projek-projek tertentu sahaja mengikut keperluan tanpa berlakunya sebarang bentuk pembaziran,” katanya.

Kenyataan beliau senada dengan pendirian pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuntut sebarang projek tidak berkepentingan dihapuskan.

Pendirian itu dibuat ke arah langkah penjimatan pengurusan drastik pentadbiran Pakatan di Putrajaya.

Terdahulu, Zuraida bercakap kepada SelangorKini selepas hadir menyerahkan bantuan Aidilfitri kepada warga Gombak di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

 

Dalam perkembangan itu, bantuan disampaikan menerusi tanggungjawab sosial Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor kepada rakyat kurang berkemampuan, di negeri itu.

=EZY=

 


Pengarang :