(AP Photo/Hani Mohammed)
GLOBAL

Krisis kemanusiaan di Yemen semakin buruk

SANAA 18 JUN: Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tiba di negara ini untuk mengadakan rundingan berhubung krisis bandar pelabuhan Hudaida.

Martin Griffiths tiba ketika pertempuran sengit terus berlaku antara tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kumpulan militan Houthi yang bakal memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Yemen.

Beliau akan mengemukakan cadangan agar pemimpin kumpulan militan menangguhkan pertempuran dan melepaskan kawalan terhadap pelabuhan tersebut yang mengendalikan lebih 70 peratus import negara ini kepada jawatankuasa yang diselia PBB.

Ketika ini kedua-dua kumpulan meningkatkan serangan untuk menguasai Lapangan Terbang Hudaida namun semalam tentera Yemen melalui Twitter mendakwa berjaya ‘membebaskan lapangan terbang itu daripada cengkaman militan Houthi’ dan pembersihan periuk api sedang dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, lewat semalam, pihak berkuasa penerbangan awam Houthi menafikan dakwaan tersebut, lapor portal Al-Jazeera.

Agensi berita rasmi Houthi, SABA yang memetik Timbalan Ketua Penerbangan Awam, Mohammed al-Sharif berkata, gambar yang tular dalam internet tentang dakwaan itu adalah gambar pada 2016.

Menurut sumber tentera, serangan tentera Arab Saudi dan UAE untuk menawan Hudaida yang dilancarkan pada Rabu lalu telah mengorbankan banyak nyawa.

 

SUMBER: AL-JAZEERA


Pengarang :