dav
SELANGOR

Lebih 700 peserta meriahkan World #QuranHour

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Lebih 700 peserta memeriahkan program World #QuranHour yang diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad berkata, program dengan kerjasama Karangkraf dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas itu menerima impak positif sejak mula dilaksanakan, pada 2015.

Beliau berkata, ia bermula dengan penubuhan Rumah Ngaji dan pelancaran Malaysia Ngaji bertujuan menggalakkan orang ramai ‘ketagih’ kepada al-Quran.

“Menerusi niat murni ini, World #QuranHour 2018 dapat dilaksanakan dengan kerjasama 104 perpustakaan seluruh negeri seperti kerjasama program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit.

“World #QuranHour 2018 yang dilaksanakan pada setiap 22 Ramadan adalah kempen membentuk landasan solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil semangat dan keberkatan 10 hari terakhir Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi bacaan al-Quran yang berlangsung selama satu jam bermula jam 12 tengah hari dan diteruskan dengan sesi tadabbur bersama Mohd Dzul Khairi Mohd Noor.

rpt

Sementara itu, Mastura berkata, beliau turut menggalakkan kakitangan mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk membaca dan memahami maksud ayat al-Quran selepas solat dhuha antara jam 8.30 hingga 9 pagi.

“Implikasi bukan dinilai dari sudut kuantiti tetapi hasilnya melalui penghayatan dan spiritual yang menyebabkan kakitangan itu mempunyai semangat untuk bekerja,” katanya.

Mengulas program yang berlangsung itu, pihaknya mengundang tiga sekolah tahfiz untuk turut serta selain kakitangannya dianggarkan 150 orang.

“Program ini akan berterusan pada masa akan datang sebagai usaha menjadikan masyarakat ketagih membaca Al-Quran kembali kepada asas membentuk perwatakan dan negara.

“Saya akan mengusulkan supaya program sebegini dijalankan lebih kerap seperti sebulan sekali contohnya,” katanya.


Pengarang :