GLOBAL

Ledakan Fuego: 73 maut hampir 200 penduduk hilang

GUATEMALA CITY 6 JUN: Sejumlah 192 orang masih hilang selepas gunung berapi Fuego di Guatemala kembali meletus semalam, kata pegawai perlindungan awam.

Sehingga kini sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh akibat bencana itu.

“Kami kini mempunyai senarai nama dan bandar di mana orang ramai dilaporkan hilang dan kami mempunyai angkanya. Setakat ini, nasib 192 orang penduduk yang dilaporkan hilang masih tidak diketahui,” kata Ketua Agensi Bantuan Bencana Kebangsaan (CONRED), Sergio Cabanas kepada wartawan.

Gunung berapi Fuego Guatemala kembali meletus semalam, memaksa petugas penyelamat mencari perlindungan berhampiran, manakala angka kematian akibat letusan hujung minggu lalu meningkat kepada sekurang-kurangnya 72 orang.

Agensi Pengurusan Bencana Guatemala, (CONRED) mengarahkan pemindahan segera dan berkata gas panas dan batu lebur mengalir dari gunung berapi berkenaan menghasilkan letusan terbesar sepanjang lebih empat dekad Ahad lalu.

Sebelum arahan perpindahan dikeluarkan, pihak berkuasa berkata jumlah kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 72, tiga lebih tinggi daripada pada hari Isnin.

Volcan de Fuego, yang bermaksud ‘Gunung Berapi Api’ dalam bahasa Sepanyol, adalah antara beberapa gunung berapi aktif selain 34 lagi di negara Amerika Tengah.

Ia terletak berhampiran dengan bandar kolonial Antigua, sebuah tapak warisan dunia UNESCO yang pernah terselamat daripada beberapa letusan besar.

SUMBER: AFP/ REUTERS


Pengarang :