GLOBAL

Malaysia sokong usaha ke arah ‘denuclearisation’

SINGAPURA 3 JUN: Malaysia menyokong penuh usaha ke arah denuclearisation dan berharap tidak hanya bertumpu kepada negara tertentu seperti Korea Utara dan Iran sahaja, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

“Ia harus merangkumi semua negara yang memiliki senjata nuk­lear,” kata beliau selepas Dia­log Shangri-La (SLD) edisi ke-17 di sini, semalam.

Mohamad berkata, Malaysia menyambut baik rundingan menangani krisis nuklear yang dijang­ka berlangsung antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura pada 12 Jun ini.

“Ia satu usaha yang baik. Kita tidak mahu (ia berulang) di rantau (Asia) ini. Kita ada experience menge­nai (pengeboman) ke atas Hiroshima dan Nagasa­ki.

“Itu adalah teknologi 70 atau 60 tahun dahulu. Kita tidak tahu teknologi nuklear sekarang. Ia amat berbahaya kepada umat manusia. Sebarang usaha ke arah denuclearisation kita akan sokong sepenuh­nya,” kata beliau.

Mohamad berkata, dengan adanya pertemuan antara Trump dengan Jong-un, itu sudah mula satu usaha yang baik.

Ketika mengulas ucapan Setiausaha Pertahanan AS, Ja­mes Mattis di SLD yang dilihat agak ‘keras’ terhadap China di Laut China Selatan, Mohamad menjawab: “Kita sentiasa mengekalkan dasar berkecuali. Itulah yang kita perjuangkan sejak kepimpinan Tun Abdul Razak.

“Kita tidak mahu sebarang pertembungan berlaku di Laut China Selatan. Kita amat bimbang mengenai apa yang berlaku di sana,” kata beliau.

Mohamad menjelaskan, ASEAN akan sentiasa mengadakan dia­log dengan China dan AS.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :