NASIONAL

Malaysia tiada masalah bekalan beras

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 14 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan Malaysia tidak mempunyai masalah bekalan beras dalam negara.

Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Shamsuddin Ismail berkata, negara mengeluarkan 73 peratus beras tempatan dan selebihnya ditampung dengan import yang dilaksanakan melalui kontrak jangka panjang.

“Bagaimanapun, bagi memastikan sekuriti makanan terjamin, kerajaan sedang meneliti secara holistik berkaitan dengan pengurusan industri padi dan beras negara.

“Dalam menyediakan hala tuju terbaik, kerajaan akan mendapatkan pandangan daripada Majlis Penasihat Pertanian Negara, selain pandangan pihak luar yang terbabit dalam industri jugak akan diambil kira.

“Penelitian mendalam perlu dilaksanakan kerana urusan pengimportan beras perlu diuruskan dengan baik bagi memastikan bekalan beras negara tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, perancangan dan hala tuju baharu pengurusan industri padi beras negara ini juga akan memberi tumpuan khusus terhadap perkara berkaitan pengurusan stok penimbal, pengurusan subsidi dan insentif, urusan pengimportan beras sering dibangkitkan, permutuan dan isu membabitkan kebajikan pesawah.

 


Pengarang :