Selangorkini
NASIONAL

Maszlee pilih Izzah perkasa TVET

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Kementerian Pendidikan akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Malaysia (TVET) yang akan dipengerusikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, jawatankuasa itu berperanan bagi menyediakan sebuah laporan untuk memperkasakan dan menaik taraf TVET.

“Saya amat berbesar hati menghalu-alukan Nurul Izzah sebagai pengerusi jawatankuasa pemerkasaan TVET ini.

“Kerana beliau merupakan salah seorang yang sangat mengambil berat tentang pendidikan TVET dan beliau telah berbincang dengan saya bagaimana TVET mampu membantu golongan muda merebut peluang pekerjaan juga keusahawanan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Maszlee berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sedar pentingnya aliran teknikal dan vokasional.

Selaras dengan manifesto, Maszlee berkata, pihaknya komited membangunkan aliran TVET setaraf dengan aliran lain dan bukan lagi sebagai pilihan kedua.

“Di peringkat kementerian juga kita mensasarkan satu hari nanti bidang TVET ini mampu diangkat setaraf dengan pendidikan TVET di Austraila dan Jerman yang terkenal dipersada dunia,” katanya.


Pengarang :