Selangorkini
SELANGOR

Mat Sabu yakin kepimpinan Amirudin terus kecemerlangan Selangor

ccsb-ads

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk menerajui kecemerlangan pentadbiran Selangor.

Justeru katanya, semua pihak diingatkan supaya tidak lagi mencetuskan sebarang sentimen bagi mencabar kredibiliti Amirudin sebagai pemimpin muda.

“Saya menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru ini.

“Demi rakyat, sokongan ini harus diberikan dan tentunya kami sebagai rakan komponen dalam Pakatan Harapan akan menjalinkan kerjasama terbaik dengan beliau untuk mengekalkan kecemerlangan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rumah Terbuka Parti Amanah Negara peringkat Selangor, di Stadium Shah Alam, petang ini.

Amirudin bersama pimpinan Exco Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim, Dr Siti Mariah Mahmud, Haniza Talha dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi turut hadir memeriahkan majlis.

Terdahulu, Amirudin mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16.

Beliau menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menerajui kabinet Putrajaya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

 


Pengarang :