SASTERA

Matryoshka

Semalam tidak ada yang tidur
masing-masing menunggu
masa depan terbit di balkoni
sesekali Nikolas mengira berat korban
dikendong tiap kali tamat genta perang
persis biri-biri melompat pagar
dinamakannya satu persatu:
Olga, Tatiana, Maria, Anastasia, Alexei.
Disusun cermat lapis demi lapis
ini boneka terakhir, hadiah
untuk dewa kematian

bayang-bayang Rasputin
memeluk tsar dalam rintih
tertanya, masihkah ada esok
untuk menampal obituari empayar:

“Takziah, sayang
menarilah di jendela
potretkan kenaifan bahawa
kitalah tirani di altar musim,
sembelihan buat langit
sejarah yang kusam, wajah
cahaya Rusia baharu.”

(kautahu, tidak ada patung
paling dalam. Hanya suara Lenin
selang-seli gema tawanya di bibir watan
membacakan dongengmu:

untuk tidur kanak yang asyik)

Rasydan Fitri
St. Petersburg-Moscow, Rusia


Pengarang :