SUKANKINI

Maxis, AirAsia taja siaran Piala Dunia di RTM

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 12 JUN: Maxis Berhad (Maxis) muncul penaja utama perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan nilai tajaan RM18 juta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, tajaan bagi 41 daripada 64 perlawanan itu juga disertai AirAsia Berhad (AirAsia) sebagai penaja emas menerusi tajaan RM12 juta.

“Kos bagi semua 41 perlawanan ini RM30 juta menjadi lengkap dengan tajaan Maxis dan AirAsia.

“Terdapat juga pihak yang berminat untuk menaja dan kita dalam proses perbincangan. Jika ada tajaan tambahan, kita boleh dapatkan siaran perlawanan tambahan dan tujuan promosi,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Gobind sebelumnya mengumumkan kerajaan melalui RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Rusia.

Daripada jumlah itu, 28 perlawanan disiarkan secara langsung manakala selebihnya siaran tertunda.

Beliau berkata, dengan penyiaran perlawanan bola sepa Piala Dunia secara percuma di RTM diharap mampu meningkatkan prestasi RTM sebagai media kerajaan.

“Ia adalah usaha kerajaan yang prihatin dengan keinignan dan minat rakyat terhadap acara sukan utama dianjurkan empat tahun sekali ini,” katanya.

Kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Rusia bermula 14 Jun hingga 15 Julai.

=EZY=


Pengarang :