BERITA UTAMASELANGOR

MB: Azmin dan lima menteri daripada Selangor pengiktirafan besar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 23 JUN: Pelantikan enam Menteri Kabinet daripada Selangor disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap pilihan rakyat Selangor yang memberi mandat besar kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini termasuk pelantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang dianggap sebagai pengiktirafan rekod cemerlang beliau mengemudi pentadbiran Selangor dengan.

“Menteri Besar sebelum ini, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dipilih sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebagai pengiktirafan kepada kejayaan beliau dan juga Negeri Selangor.

“Bukan itu sahaja setakat ini Selangor mempunyai enam menteri di peringkat Persekutuan di mana ini adalah satu pengiktirafan kepada kejayaan rakyat Selangor memberi mandat yang besar kepada Pakatan Harapan pada PRU14 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Negeri Sabak, Ahmad Mustain Othman di Balai Rakyat Taman Berjaya, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pada PRU14, rakyat Selangor memberi keyakinan tinggi kepada PAKATAN apabila memilih PAKATAN di 51 kerusi DUN berbanding 56 kerusi keseluruhan.

Amirudin turut meluahkan keyakinan bahawa Menteri yang dilantik akan memberi sepenuh komitmen terhadap tanggungjawab yang diberikan.

Terdahulu, selain Mohamed Azmin (Parlimen Gombak), turut dilantik adalah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan) sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Keluarga, Zuraida Kamaruddin (Ampang) sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Manakala Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Mohamad Sabu (Kota Raja) sebagai Menteri Pertahanan dan Gobind Singh Deo (Puchong) sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

=EZY=


Pengarang :