SELANGOR

MB baharu mungkin bukan dalam kalangan Exco

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JUN: Pemilihan Dato’ Menteri Besar Selangor baharu tidak semestinya dalam kalangan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sedia ada.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, terdapat kemungkinan penggantinya bukan Exco memandangkan Pakatan Harapan (PAKATAN) memenangi 51 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun mengesahkan calonnya daripada KEADILAN.

“Ada kemungkinan (dalam kalangan Exco) tetapi kita perlukan pengganti. Jika (calon) bukan dalam kalangan Exco, maka kita tidak perlukan pengganti.

“Kita sudah mengenal pasti (calon) dan berbincang dengan pimpinan. Nama akan dikemukakan kepada Tuanku Sultan dalam masa terdekat serta majlis angkat sumpah sudah ditetapkan (19 Jun),” katanya.

Bercakap kepada media sejurus selesai Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam bersama Dato’ Menteri Besar Selangor, di Auditorium Dewan Jubli Perak, beliau berkata, nama calon akan dikemukakan secepat mungkin selepas proses perbincangan selesai.

Katanya, isu itu turut dibincangkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Bukit Kayangan, pada 31 Mei lalu.


Pengarang :