SELANGOR

MB: Jom meriahkan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Kurang 24 jam lagi Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr peringkat Kerajaan Selangor akan dijalankan di Padang B, Dataran Kemerdekaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, justeru itu beliau mengajak semua penduduk di negeri ini hadir ke acara berkenaan sempena memeriahkan bulan Syawal.

“Datanglah beramai-ramai ke majlis ini kerana Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga turut mencemar duli bersama rakyat, tidak ketinggalan, turut hadir ialah menteri kabinet, exco dan Ahli Dewan Negeri (ADN).

“Pada majlis inilah kita boleh beramah-mesra dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri sesi raptai penuh Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr.

Bertemakan Gelombang Perpaduan, Rancak Pembangunan, Semarak Kesejahteraan, majlis tersebut bermula dari jam 10.30 pagi hingga 3 petang.

Menariknya, selain bakal dihadiri Amirudin selaku Dato’ Menteri Besar yang baharu, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan, antaranya, Jay Jay, Ernie Zakri, Khai Bahar, Haiza dan ramai lagi.

Majlis itu turut mendapat kerjasama sepenuhnya oleh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tourism Selangor, Worldwide Holdings Berhad dan Air Selangor.

Sementara itu, Media Selangor menerusi agensi media rasmi Kerajaan Negeri, SelangorKini dan TV Selangor turut bertindak sebagai media rasmi.

 


Pengarang :