SELANGOR

MB lawat Anwar, keadaan beransur pulih

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menziarahi Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini.

Berkongsi catatan di Twitter, Amirudin berharap Ketua Umum KEADILAN itu pulih dan sihat seperti biasa.

“Menziarahi Dato’ Seri Anwar Ibrahim di PPUM. Beliau sedang berehat dan ditemani Datuk Seri Dr Wan Azizah.

“Mendoakan kesembuhan segera dan kesejahteraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” tulisnya.

Anwar dimasukkan ke PPUM selepas mengadu sakit bahu dan belakang, minggu lalu.

Isterinya, Dr Wan Azizah bagaimanapun berkata, keadaan Anwar semakin bertambah baik dan akan pulih dalam tempoh terdekat.

“Teruskan berdoa, kami sangat berterima kasih atas segala sokongan dan doa diberikan.

“Kami berharap Anwar akan pulih sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita, semalam.

Anwar dilaporkan mengalami sakit bahu dan belakang selepas kembali dari Turki, baru-baru ini.


Pengarang :