SELANGOR

MB: Pelantikan Speaker DNS diputus secara konsensus

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 JUN: Pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) dibincangkan secara konsensus dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) dan tidak timbul soal pertelingkahan antara semua parti komponen.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menjelaskan, perbincangan berjalan lancar sehingga dimuktamadkan tanpa sebarang masalah.

“Tidak ada pertelingkahan dan ia melibatkan perbincangan. Perbincangan berlangsung sangat baik dan harmoni sebab itu tiada pertelingkahan.

“Kita membincangkan sebarang kemungkinan dan Alhamdulillah hari ini kita mencatat konsensus dengan satu calon serta keputusan sebulat suara dalam Dewan (DNS),” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dimahsyurkan secara rasmi menjadi Speaker serta Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Pelantikan Speaker itu dicadangkan Amirudin yang juga ADN Sungai Tua serta disokong ADN Bandar Baru Klang yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Kim.

Chang Kim pula mencadangkan supaya Mohd Khairuddin dilantik menjadi Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor dan ia disokong ADN Kota Kemuning yang juga Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Suee Lim dan Mohd Khairuddin mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sambil disaksikan Setiausaha Dewan Negeri Selagor.

Mengulas mengenai portfolio ADN Batu Tiga, Rodziah Ismail, Amirudin menjelaskan akan berlaku sedikit perubahan dan ia akan diumumkan selepas Mesyuarat Exco yang bakal bersidang esok.

“Secara asasnya majoriti daripada tanggungjawab dan portfolio saya akan dipikul. Mungkin akan ada sedikit perubahan berkenaan portfolio belia dan sukan.

“Kemungkinan besar sama, hanya sedikit perubahan,” katanya.

Menyentuh soal perbandingan corak pentadbiran dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Amirudin lebih fokus untuk meneruskan kecemerlangan Negeri Selangor.

“Masing-masing ada kaedah tersendiri, yang penting kerjasama berpasukan dalam meneruskan kecemerlangan,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :