BERITA UTAMASELANGOR

MB: Perbincangan dengan Sultan Selangor, fokus pembangunan negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 JUN: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, memaklumkan pertemuan bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tertumpu kepada isu pembangunan negeri dan rakyat digariskan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, perbincangan diadakan hari ini selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri buat kali terakhir sebelum berangkat menunaikan ibadah umrah, esok.

“Saya mengadap Sultan Selangor hari ini kerana ia hari paling sesuai sebelum berangkat menunaikan ibadah umrah dan hanya akan kembali ke tanahair sehari sebelum Aidilfitri.

“Pertemuan dan perbincangan tertumpu kepada beberapa keputusan dan dasar Kerajaan Negeri khususnya pembangunan untuk rakyat Selangor dan beberapa langkah dijalankan supaya wujud kelangsungan apabila diambilalih Dato’ Menteri Besar yang baharu.

“Tiada perbincangan mengenai calon Dato’ Menteri Besar baharu,” katanya kepada media selepas keluar daripada Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Berhubung pelantikan Dato’ Menteri Besar baharu, Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, senarai nama calon telah dikemukakan kepada Sultan Selangor dan baginda menyatakan persetujuan supaya majlis mengangkat sumpah jawatan diadakan pada 19 Jun ini.

Mohamed Azmin tiba dan memasuki kawasan istana itu dengan menaiki kenderaan rasminya pada kira-kira jam 10.50 pagi dan keluar sekitar jam 1 tengah hari.

Pelantikan Dato’ Menteri Besar yang baharu perlu dibuat ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melantik beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada 21 Mei lalu.

Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mengambilalih pentadbiran di Putrajaya selepas pilihan raya umum ke 14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar buat kali kedua selepas PRU14, 11 Mei lalu, apabila PAKATAN berjaya memperoleh mandat bagi mentadbir Selangor untuk penggal ketiga dengan majoriti lebih dua pertiga.

=EZY=


Pengarang :