BERITA UTAMASELANGOR

MB: Terima kasih Sultan Selangor, bersama majukan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 19 JUN: Dato’ Menteri Besar baharu, Amirudin Shari, menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang berkenan melantiknya ke jawatan berkenaan.

Beliau berkata akan menggalas tanggungjawab penuh amanah bersesuaian dengan ikrar dan lafaz sumpah dizahirkan.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dilantik untuk memegang amanah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang ke-16.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang memberikan teladan terbaik sepanjang perkhidmatannya selama tiga tahun empat bulan.

“Sesungguhnya asas tata kelola dan pentadbiran kreatif beliau akan membantu melonjakkan Selangor ke aras lebih tinggi,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua itu juga berterima kasih kepada Presiden KEADILAN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ADN Selangor atas dokongan juga kepercayaan untuknua mengemudi pentadbiran Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memastikan kesinambungan pentadbiran peduli rakyat, telus dan berintegriti.

“Saya berazam meneruskan kecemerlangan Selangor sebagai Negeri Pintar Serantau atau Regional Smart State dengan kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Dengan penuh rendah diri dan tangan terbuka, Dato’ Menteri Besar berkata, pihaknya ingin mengajak anggota perkhidmatan awam Selangor, pihak korporat dan swasta, parti politik juga terutama sekali rakyat untuk menggembleng tenaga memajukan Selangor.

=EZY=


Pengarang :