BERITA UTAMASELANGOR

MB zahir penghargaan kejayaan rumah terbuka

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Eidul Fitr peringkat negeri.

Di Twitter, Amirudin turut berterima kasih kepada semua anggota dan petugas yang membantu menjayakan majlis itu.

“Saya amat terharu dan cukup berbangga dengan sambutan rakyat Selangor yang berduyun membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam dari pagi hingga petang. Semangat Syawal sungguh meriah.

“Pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum, agama dan umur berkumpul bersama. Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan buat para petugas dan kakitangan yang bertungkus lumus menjayakan Sambutan Aidilfitri Peringkat Selangor 2018 bertemakan ‘Kesatuan Hati, Kemenangan Diinsafi’.

“Penghargaan juga buat penaja dan anak syarikat yang menyumbang,” tulisnya.

Semalam, kira-kira 50,000 rakyat pelbagai lapisan bangsa dan agama memeriahkan majlis rumah terbuka yang berlangsung, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Amirudin menyifatkan sambutan menggalakkan itu sebagai lambang manifestasi perpaduan rakyat, di negeri berkenaan.

Terdahulu, majlis yang turut dihadiri Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu turut diserikan dengan kehadiran DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan mencemar duli hadir, pada majlis tahunan itu.

 


Pengarang :