SELANGOR

MBPJ arah tiga premis makanan ditutup

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 8 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan notis penutupan terhadap tiga premis makanan di sini akibat gagal dalam operasi pemeriksaan kesihatan.

Ahli Majlis MBPJ, Sean Onn berkata, semua premis diarah tutup selama dua minggu sehingga pemilik terbabit membuat kerja pembersihan dan MBPJ berpuas hati dengan tahap kebersihannya.

Katanya, dalam operasi di Jalan Chantek, Seksyen 5 sebanyak 12 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memasang dan melakukan penyelenggaraan perangkap minyak, najis tikus di dalam premis serta kegagalan pengendali makanan mendapatkan suntikan typhoid (kepialu).

“Ada juga pemilik premis makanan menggunakan lorong belakang sebagai tempat memasak dan ia adalah kesalahan yang patut dikenakan kompaun dengan setiap kompaun RM250.

“MBPJ sentiasa menjalankan pemeriksaan rutin setiap hari di lokasi berbeza di seluruh Petaling Jaya,” katanya.

Beliau berkata, sejak 2017 hingga Mac 2018, sebanyak 2,096 pemeriksaan premis makanan diperiksa.

“Daripada jumlah tersebut, 76 premis makanan tidak bersih dan tidak berlesen telah di tutup di bawah Undang-undang Kecil Establishment Makanan (MBPJ) 2007.

“Dalam tempoh sama, 2,024 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Undang-Undang Kecil Establishment Makanan (MBPJ) 2007, Undang – Undang Kecil Pengendali Makanan dan Undang-Undang Kecil Penjaja,” katanya.

Sekiranya terdapat sebarang aduan berkenaan isu keselamatan makanan dan kebersihan premis, orang ramai boleh membuat aduan melalui emel [email protected] atau hubungi talian hotline 0379542020 atau laman facebook www.facebook.com/mbpjaduan.


Pengarang :