PBTSELANGOR

MBPJ selesaikan 80 peratus aduan sehingga Mei

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 30 JUN: Jumlah aduan diterima melalui pelbagai saluran penerimaan merekodkan prestasi penyelesaian memuaskan iaitu sebanyak 80 peratus oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sehingga 31 Mei 2018, sejumlah 6,873 aduan diterima melibatkan aduan kerosakan jalan, kutipan sampah, cantasan pokok dan lain-lain.

Katanya, respon dan maklum balas Jabatan dan Unit turut menunjukkan peningkatan yang baik terutama bagi aduan Kategori 1 dan Kategori 2.

“Berdasarkan ini, secara keseluruhan hampir 95 peratus aduan menerima maklum balas Jabatan dan Unit dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Di samping itu setakat Jun 2018, prestasi penyelesaian aduan tertunggak bagi tahun 2017 juga menunjukkan peningkatan positif iaitu sebanyak 99 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam mesyuarat bulanan, baru-baru ini.

Mohd Azizi berkata, dengan penurunan itu, ia menunjukkan komitmen tinggi daripada Jabatan dalam menyelesaikan aduan awam diterima MBPJ.

Sehubungan itu, beliau berharap ketua-ketua jabatan terus memberikan perhatian serius terhadap aduan diterima demi memastikan kelestarian Petaling Jaya dapat dikekalkan.

“Ini kerana, penduduk Petaling Jaya meletakkan harapan tinggi kepada MBPJ dalam menangani masalah diajukan mereka.

“Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, MBPJ sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap medium penerimaan aduan bagi memudahkan penduduk menyampaikan aduan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, MBPJ kini sedang membangunkan sistem e-aduan berasaskan pemetaan satelit dan juga aplikasi telefon pintar yang memudahkan lagi penduduk menyalurkan aduan dengan pantas.

“Ini juga selaras dengan matlamat untuk menjadikan Petaling Jaya sebuah bandar raya pintar (Smart City),” katanya.

=EZY=


Pengarang :