PBTSELANGOR

MBPJ sumbang RM300 kepada 100 warga PPR

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 JUN: Seramai 100 orang terdiri daripada daripada ibu tunggal, keluarga kurang berkemampuan dan keluarga yang mempunyai anak kurang upaya menerima bantuan Aidilfitri.

Bantuan berbentuk wang tunai RM300 itu diserahkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada penduduk dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Desa Mentari, Taman Medan, Taman Dato’ Harun.

Datuk Bandanya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, bantuan itu disumbangkan Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan dan Jabatan Khidmat Pengurusan MBPJ.

“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan tanggungan mereka untuk membuat persiapan hari raya tidak lama lagi.

“Semoga ia memberi kita keinsafan diri untuk saling membantu, terutama kepada mereka yang amat memerlukannya,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya, baru-baru ini.

Pada masa sama, MBPJ turut menyerahkan hadiah kepada 19 pelajar cemerlang yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Seramai empat pelajar cemerlang UPSR menerima RM300, tujuh pelajar cemerlang PSRA menerima RM300, lima pelajar cemerlang PT3 RM500 dan tiga pelajar cemerlang SPM RM800.

“Semoga sumbangan diberikan itu menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha dengan tekun, lebih bersungguh-sungguh dan gigih demi mencapai kejayaan cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

MBPJ turut memberikan kain batik dan kain pelikat kepada 2,405 kakitangannya.

Program tahunan itu juga menyediakan bubur lambuk dan kuih raya sebagai amalan tradisi kepada kakitangan.


Pengarang :