PBTSELANGOR

MBSA anjur Majlis Iftar Jamaie, bantu golongan kurang berkemampuan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 JUN: Seramai 50 pelajar dari Maahad Tahfiz Darul Uloom Al Mustafa, Kampung Paya Jaras diraikan dalam Majlis Iftar Jamaie Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, MBSA turut menyerahkan duit raya kepada pelajar berkenaan berjumlah RM50 seorang.

Katanya, MBSA juga membantu kakitangan MBSA yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban sepanjang bulan Ramadan.

“Seramai 79 warga kerja layak menerima sumbangan mengikut kriteria yang ditetapkan seperti ibu atau bapa tunggal, mempunyai anak istimewa, warga kerja berstatus Orang Kelainan Upaya dan mempunyai penyakit kronik.

“Sumbangan yang diberikan melalui Tabung Majikan Prihatin bernilai RM300 untuk setiap penerima,” katanya.

Shahrin berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mereka yang memerlukan dalam membuat persiapan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Pada masa sama, katanya, majlis itu turut meraikan media massa yang merupakan usaha berterusan pihak MBSA untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara kedua-dua pihak.

“Pihak MBSA menghargai sumbangan pidak media massa yang banyak membantu meuar-uarkan aktiviti dan program sekali gus meningkatkat imej MBSA di mata masyarakat,” katanya.

Pada Mei lalu, MBSA mengadakan program Ziarah Ramadan membabitkan seramai 120 penerima sumbangan. Setiap keluarga menerima sumbangan barang makanan bernilai RM100 dan wang tunai RM100 sebagai persediaan Ramadan.

=EZY=

 


Pengarang :