PBTSELANGOR

MBSA: Jom bayar cukai taksiran dan menang

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 25 JUN: Pemegang harta di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berpeluang memenangi wang tunai RM200,000 dengan menyertai Kempen Bayar Cukai Taksiran bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kempen itu akan bermula pada 15 Jun hingga 31 Ogos ini.

“Kempen ini mendapat tajaan dari Bank Muamalat dan sebagai langkah MBSA menggalakkan pemegang harta menjelaskan cukai taksiran.

“Kelayakan penyertaan untuk kempen ini ialah pemilik harta yang tiada tunggakan, iaitu akaun berbaki kosong sehingga 31 Ogos ini dan pemilik harta yang membayar cukai taksiran setahun untuk 2018 serta tiada tunggakan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, MBSA juga menyediakan pelbagai saluran pembayaran untuk memudahkan pemegang harta menjelaskan cukai taksiran.

Katanya, pemegang harta boleh ke Kaunter Utama, Wisma MBSA dan Pejabat Cawangan MBSA di Kota Kemuning, Sungai Buloh serta Setia Alam untuk urusan pembayaran.

“Bil cukai taksiran boleh dijelaskan di semua cawangan Bank Simpanan Nasional, AmBank, Bank Muamalat, Bank Rakyat, Affin Bank, Agro Bank dan Bank Islam.

“Saluran bayaran baharu melalui JomPAY juga diperkenalkan dan pembayar hanya perlu memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baharu pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 seterusnya memasukkan jumlah bayaran,” katanya.

Katanya, MBSA turut menyediakan perkhidmatan pembayaran dan pertanyaan baki cukai taksiran secara dalam talian melalui laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my.


Pengarang :