PBTSELANGOR

MBSA kompaun kilang haram ganggu penduduk

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan kompaun terhadap sebuah kilang haram yang dipercayai beroperasi tanpa lesen sah, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, notis itu dikeluarkan anggota penguat kuasa MBSA dari cawangan Sungai Buloh setelah membuat pemeriksaan, selain notis kacau ganggu juga dikeluarkan, pada hari sama.

“Kita mendapati kilang terbabit dibina atas tanah rezab kerajaan, perkara ini akan dibincangkan bersama Jabatan Teknikal MBSA supaya tindakan penguat kuasaan secara komprehensif dapat dilaksanakan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi maklum balas berhubung masalah yang menyelubungi 10 keluarga di Kampung Taman Segar, di Seksyen 5 setelah sebuah kilang berhampiran didakwa mengeluarkan debu dan bau busuk yang menggangu penduduk.

Salah seorang penduduk, Raja Poobalan, 33, berkata, gangguan itu menyebabkan beliau dan keluarga sering berulang alik ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

“Pada awalnya kilang itu tidak mendatangkan masalah, namun ia berubah sejak awal tahun ini, justeru kami berharap masalah ini segera diatasi kerana penduduk tidak tahan diselubungi habuk dan bau kurang enak,” katanya.


Pengarang :