PBTSELANGOR

MBSA terima sijil CCC siapkan Terminal Bas Seksyen 17

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUN: Akhirnya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) daripada dua agensi kerajaan sekaligus membolehkan Terminal Bas Seksyen 17 dibuka dalam masa terdekat.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, pihaknya menanti sijil berkenaan sejak awal tahun ini setelah kontraktor menyiapkan kerja bagi pembinaan terminal baru.

“Kita jangkakan terminal ini akan beroperasi pada pertengahan Julai, namun pada peringkat ini Sistem Pengurusan Terminal seperti yang digunapakai Terminal Bersepadu Selatan (TBS) perlu dipasang terlebih dahulu.

“Setiap satu kaunter tiket online di terminal baru ini akan menyediakan 24 syarikat bas yang boleh dipilih orang ramai,” katanya ketika Majlis Mesyuarat Penuh MBSA.

Sejak 15 Disember lalu, MBSA memindahkan sementara operasi Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam ke Terminal Bas Sementara di Jalan Lontar Peluru 13/39, Seksyen 13.

Pemilihan lokasi terminal bas sementara itu disebabkan oleh kedudukan yang strategik berhampiran dengan Lebuhraya Persekutuan (Federal Highway), Lebuh raya New Klang Valley Expressway (NKVE) dan Lebuh raya Guthrie.

Pemindahan sementara terminal bas itu juga bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf Terminal Bas Seksyen 17 yang akan dinaiktarafkan menjadi sebuah terminal bas yang moden serta mempunyai kemudahan awam yang lebih baik demi keselesaan dan kemudahan orang ramai.

Terminal baru itu bakal mempunyai kemudahan 24 kaunter tiket bas termasuk kemudahan awam lain seperti tandas lelaki dan wanita, surau lelaki dan wanita, gerai dan ruang makan, kios, ruang menunggu bas dan teksi.

=EZY=


Pengarang :