NASIONAL

Mesin judi bernilai 3.4 juta dilupuskan

OLEH NADIAH ZAMLUS
BANGI, 1 JUN: Polis melupuskan mesin judi dalam talian yang dianggarkan bernilai RM3.4 juta susulan serbuan ke atas premis judi yang beroperasi secara haram di Kajang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ia membabitkan 14,300 mesin judi hasil serbuan polis daerah ini antara 2016 hingga tahun lalu.
Katanya, secara keseluruhan sebanyak 9,101 serbuan ke atas premis judi yang beroperasi secara haram di Selangor sejak 2016 hingga Mei 2018.
“Jumlah rampasan pula adalah sebanyak 99,079 unit mesin judi. Sepanjang tempoh itu juga, kita menahan 12,168  individu merangkumi penjaga premis pusat judi haram dan pelanggan, selain merampas 7,834 unit mesin judi.
“Mesin judi berkenaan dilupuskan selepas kes selesai dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pelupusan Barang Kes Komputer Perjudian di Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dan Majistret Mahkamah Kajang, Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.
Fadzil berkata, pihaknya sentiasa berusaha membanteras kegiatan judi yang beroperasi secara haram.
“Gejala sebegini, kita tidak dapat menghapuskan secara sepenuhnya, namun kita sentiasa berusaha melakukan serbuan tanpa mengira masa bagi memastikan gejala jenayah ini dapat dihapuskan,” katanya.

Pengarang :