SUKANKINI

Messi buat Argentina malu

MOSCOW 17 JUN: Argentina sekadar mencatat keputusan seri 1-1 bertemu pendatang baharu Piala Dunia, Iceland dengan Lionel Messi mensia-siakan peluang terbaik apabila dia gagal menyempurnakan penalti bagi memastikan kemenangan pasukan dari benua Amerika Selatan itu.

Sergio Aguero membuka tirai jaringan buat juara dunia dua kali itu seawal minit ke-19 tetapi kelebihan itu berjaya dipadam Iceland apabila Alfred Finnbogason berjaya meledak gol penyamaan empat minit kemudian.

Keputusan itu dianggap memalukan buat Argentina dan menimbulkan persoalan mengenai kemampuan mereka yang diletakkan sebagai salah satu pasukan pilihan bagi menjuarai Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada 1986.

Dengan Diego Maradona turut hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Spartak Moscow, Messi gagal untuk memberi reaksinya terhadap hatrik yang dilakukan pencabar utamanya, Cristiano Ronaldo ketika membantu Portugal mengikat Sepanyol 3-3 dalam aksi pertama.

Messi sehingga kini masih gagal menjulang sebarang gelaran utama di pentas antarabangsa dan masa semakin suntuk buat dirinya yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-31 pada 24 Jun ini.

Bagi Iceland yang menyingkirkan England pada saingan Euro 2016, keputusan seri dengan Argentina memberi petanda positif buat negara kerdil berkenaan sekali gus mencerahkan peluang untuk melepasi saingan kumpulan yang turut dibarisi Nigeria dan Croatia.

Iceland yang mempunyai jumlah penduduk sebanyak 330,000 orang adalah negara kecil pertama yang layak ke Piala Dunia tetapi membuktikan mereka mampu memberi cabaran kepada pasukan berstatus gergasi.

SUMBER: AFP

FOTO: AFP


Pengarang :