NASIONAL

MOA pantau harga pasar tani sepanjang Aidilfitri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memberi jaminan harga barangan keperluan dan makanan dijual di pasar tani seluruh negara sepanjang musim perayaan Aidilfitri, berpatutan serta kompetitif.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya juga akan memastikan barangan dijual di  732 pasar tani seluruh negara itu bermutu dan berkualiti untuk kegunaan pengguna.

“Kita mahu 732 pasar tani itu berperanan sebagai pusat pengumpulan barangan keperluan dan makanan terutamanya kepada pengguna yang sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Dengan cara itu, pengguna mempunyai lebih banyak pilihan kerana barangan pasar tani termasuk ayam, daging, ikan dan sayur yang ditawarkan jauh lebih segar serta dijual dengan harga berpatutan berbanding pasar raya, pasar besar dan kedai runcit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Jimat Belanja Aidifitri di pasar tani Seksyen 13 di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Pertanian Selangor Ir Izham Hashim dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.

Salahuddin berkata, kementeriannya dengan kerjasama agensi lain juga akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan peniaga pasar tani tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

“Kita juga mengharapkan kesan rantaian daripada sifar GST yang telah dilaksanakan 1 Jun lepas akan turut akan memberikan pulangan faedah kepada rakyat.

“Tidak guna sekiranya kita perjuangkan untuk GST ini tetapi rakyat tidak mendapat manfaatnya,” katanya.


Pengarang :