SELANGOR

Model negeri terbersih, Selangor mahu KDEBWM perhebat peranan

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 13 JUN: Kerajaan Negeri akan berbincang dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor bagi memperhebatkan usaha pembersihan di kawasan komersial khususnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, usaha itu kerana Kerajaan Negeri berhasrat menjadi model negeri terbersih di Malaysia.

“KDEBWM menunjukkan prestasi dan menjalankan tugas dengan baik dari segi kutipan.

“Namun, kita mahu memperhebatkan lagi dan menyediakan rancangan serta kaedah baru yang boleh diwujudkan bagi menjayakan hasrat ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Datuk Bandar dan Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan Selangor (PBT).

Sze Han berkata, antara cadangan itu termasuk kekerapan pembersihan dan menetapkan pekerja di setiap masa di sesuatu kawasan.

Terdahulu, prestasi membanggakan KDEBWM dalam menguruskan sisa pepejal, di negeri ini mendapat pujian Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menzahirkan rasa gembira dengan peranan KDEBWM yang disifatkan berjaya menangani masalah sampah, di beberapa PBT.

Mohamed Azmin berjanji dengan kehadiran KDEWB, Selangor akan muncul sebagai negeri paling bersih, di Malaysia.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Tahir turut bercadang mengambil alih kutipan sisa industri di seluruh Selangor.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat dan membuat perancangan serius untuk dicadangkan kepada Kerajaan Negeri.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri melalui pegangan saham di dalam Pemerbadanan Menteri Besar.

Syarikat itu diberi tanggungjawab melakukan kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, di Selangor secara berperingkat.

=EZY=


Pengarang :