SUKANKINI

MotoGP: Hafizh cemerlang di Itali

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JUN: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin mempamer tunggangan membanggakan dengan menamatkan saingan di tempat ke-12 dalam Grand Prix (GP) Itali, di Autodromo del Mugello, Itali, semalam.

Dengan keputusan dicatat, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu memperoleh empat mata, memulakan perlumbaan dari petak ke-14 melengkapkan 23 pusingan dengan masa keseluruhan 42 minit 05.665 saat.

Selepas enam pusingan, Hafizh kini di tangga ke-16 dengan 17 mata dalam senarai pelumba keseluruhan, manakala dalam senarai pelumba muka baharu, beliau berkongsi mata dengan Franco Morbidelli di tangga teratas.

Perlumbaan GP Itali dimenangi pelumba Ducati, Jorge Lorenzo dengan catatan masa 41 minit 43.230 saat diikuti rakan sepasukan, Andrea Dovizioso serta pelumba Movistar Yamaha MotoGP, Velentino Rossi (ketiga).

Hafizh berkata, perlumbaan itu adalah sukar dalam keadaan sangat panas, namun berterima kasih kepada pasukan yang banyak membantu dengan penyediaan jentera sempurna.

“Saya sangat gembira kerana pada permulaan saya bergelut sedikit untuk mencari cengkaman dan saya menggunakan segala kekuatan bersaing dengan pelumba lain.

“Ia menguatkan azam saya untuk terus bekerja keras meraih kejayaan lebih baik dalam perlumbaan seterusnya,” katanya.

Perlumbaan selepas ini ialah GP Sepanyol, pada 15 hingga 17 Jun ini.

Rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco, turut cemerlang apabila menamatkan perlumbaan pada tempat
ke-10 untuk meraih enam mata.

Pelumba Perancis itu kini menduduki tangga kelima keseluruhan dengan 64 mata.


Pengarang :