PBTSELANGOR

MPAJ: Tiada penangguhan bayaran cukai taksiran

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 30 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyeru pemilik-pemilik premis di dalam kawasannya membuat bayaran cukai taksiran segera tanpa sebarang penangguhan.

Yang Dipertua MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, pemilik disarankan melakukan pembayaran menerusi sistem iComm bagi mengelakkan isu kesesakan kaunter dan tempat letak kereta.

“Bagi tahun 2018 sebanyak 241,572 bil telah diedarkan dengan nilai RM46.06juta bagi tempoh setengah tahun pertama dan setengah tahun kedua dengan tarikh akhir bayaran adalah 31 Ogos 2018. P

“Pengecualian hanya melibatkan 51,287 unit sahaja dengan nilai bil bagi tahun 2018 adalah RM9.87juta.

“Namun pemilik Rumah Kos Rendah dan Kampung masih perlu menjelaskan Tunggakan Cukai Taksiran bagi tahun 2015 dan tahun-tahun sebelumnya. Adalah diingatkan pengecualian ini adalah hanya untuk tahun 2016 hingga 2018 sahaja,” katanya selepas mempengerusikan Mesyaurat Bulanan MPAJ Bil 6/2018.

Menurutnya, penduduk turut diingatkan supaya mengambil tanggungjawab menyelesaikan Tunggakan Cukai Taksiran walaupun premis dibiarkan kosong.

“Sekiranya premis disewakan, penyewa premis juga perlu maklum bahawa sekiranya pemilik tidak membuat bayaran Cukai Taksiran, di bawah Seksyen 151(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bayaran sewa rumah boleh ditolak dengan menyerahkan resit bayaran Cukai Taksiran yang telah dijelaskan oleh penyewa,” katanya.

Pada masa sama, 100 pemaju dan 100 individu tegar digesa supaya tampil menghadirkan diri ke MPAJ untuk membuat semakan data pemilik di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.

Katanya, panggilan ini adalah bertujuan mendapatkan pengesahan ke atas butiran hakmilik kerana bil Cukai Taksiran masih belum dijelaskan sepenuhnya hingga kini.

=EZY=


Pengarang :