SELANGOR

MPK nafi berkasar dengan peniaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 11 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menafikan penguatkuasanya memulakan kekasaran terhadap peniaga di Jalan Taiping, di sini.

Yang Dipertua (YDP) MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, video tular di laman sosial itu tidak menunjukkan rakaman penuh, sebaliknya disunting.

“Melalui rakaman video penuh juga, dapat dilihat dengan jelas bahawa peniaga yang memulakan kekasaran dengan menumbuk kakitangan MPK, namun apa yang berlaku ialah orang ramai hanya melihat separuh rakaman sahaja iaitu pada saat penguatkuasa menumbuk peniaga.

“Sedangkan hakikatnya penguatkuasa hanya bertindak balas setelah ditumbuk serta dikasari peniaga berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MPK, di sini.

Beliau berkata, rampasan dibuat MPK terhadap peniaga air setelah amaran dibuat sebanyak tiga kali, dan awalnya peniaga membuat perjanjian lisan untuk tidak lagi berniaga.

Katanya, untuk pengetahuan peniaga berkenaan tidak mendapat lesen daripada MPK dan mengikut undang-undang ditetapkan perniagaan air dalam balang tidak dibenarkan dijual di Bazar Aidilfitri Jalan Taiping.

“Tindakan peniaga tersebut adalah tidak adil memandangkan kesemua 339 peniaga di Jalan Taiping mendapatkan tapak niaga mereka melalui sistem bidaaan, dan jumlah bidaan tertinggi yang diperolehi ialah RM8,288.

“Sementara 133 peniaga lagi adalah peniaga asal tapak dan MPK membenarkan mereka berniaga tanpa sistem bidaaan,” katanya.

MPK juga sudah membuat laporan polis dan menunggu siasatan dijalankan, penguatkuasa yang berkenaan juga akan dipanggil untuk tindakan selanjutnya.

Mohamad berkata, MPK sentiasa mempertahankan prinsip integriti, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang dalam menjalankan tugas.

“MPK juga sudah berikan bukti kepada anggota polis dan saya ingin nasihatkan peniaga supaya jika hendak mendapatkan rezeki yang bersih di bulan Ramadan ini, berniagalah dengan baik serta mengikut undang-undang ditetapkan,” katanya.

Semalam polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 41 tahun berhubung kes pergaduhan membabitkan peniaga dan penguatkuasa MPK pada jam 9.45 malam di Bazar Aidilfitri di Jalan Taiping, Klang.

Akibat pergaduhan itu, seorang daripada anggota penguat kuasa MPK mendapat kecederaan di muka.

Siasatan awal polis juga menunjukkan gerai suspek sudah pernah diambil tindakan sitaan, Ahad lepas kerana kesalahan yang sama.

MPK juga pernah memberi amaran sebelum ini, namun kedua suspek itu berdegil dan terus menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Kedua lelaki itu kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada penjawat awam.


Pengarang :