PBTSELANGOR

MPK sita 2 premis judi

OLEH NADIAH ZAMLUS

KLANG, 17 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita dua premis perjudian dalam Operasi Pelesenan Perniagaan, di Kapar selepas didapati menyalahgunakan lesen perniagaan.

Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, melalui serbuan itu, sebanyak 15 mesin judi dirampas daripada kedua premis berkenaan.

Katanya, premis itu didapati mempunyai lesen perniagaan pusat hiburan bagi permainan dart dan snuker, namun sebaliknya mereka menjalankan perniagaan perjudian menggunakan mesin slot.

“Oleh itu, kami bertindak menyita dua premis berkenaan selain merampas mesin judi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemilik premis berkenaan juga akan disenaraihitamkan kerana melanggar peraturan ditetapkan.

“Biasanya premis itu beroperasi pada sebelah malam, bagaimanapun kita dapati ia turut beroperasi pada sebelah siang,” katanya.

Sehingga kini, MPK menjalankan pemeriksaan terhadap 72 lokasi dan sebanyak 16 premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen disita.


Pengarang :