PBTSELANGOR

MPK sumbang Tabung Harapan Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 28 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendahului inisiatif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membantu menyalurkan sumbangan ke dalam Tabung Harapan Malaysia.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi komitmen anggota pegawai tertinggi PBT berkenaan.

“Sumbangan ini dikumpulkan hasil usahasama ahli majlis dan pegawai kanan daripada pelbagai jabatan di MPK.

“Selepas penyerahan ini, kita akan mula mengedarkan tabung pengumpulan dana kepada warga MPK untuk sama-sama menyumbang dalam Tabung Harapan Malaysia,” katanya kepada pemberita.

Difahamkan, MPK adalah PBT pertama di negeri ini yang memulakan inisiatif itu.

Terdahulu, Mohamad Yasid menyerahkan replika cek sumbangan terkumpul berjumlah RM34,526.72 kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk disumbangkan ke dalam Tabung Harapan Malaysia.

Majlis penyerahan turut disaksikan Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi dan ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri.

Sementara itu, jumlah terkini kutipan Tabung Harapan Malaysia sudah mencecah RM127 juta.


Pengarang :