SELANGOR

MPKj terima 59 kompaktor KDEBWM

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KAJANG, 29 JUN: Sebanyak 59 unit lori kompaktor bagi kutipan sampah domestik dan 60 unit Arm Roll bagi pembersihan awam diserahkan kepada sub kontraktor Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang dilantik KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, 10 unit diserahkan bagi fasa pertama dan selebihnya diberi secara berperingkat.

Katanya, bermula 1 Julai, KDEBWM memulakan perkhidmatan kutipan sampah domestik di kawasan pentadbiran MPKj sekali gus berharap masalah aduan permasalahan sampah dapat diturunkan.

“KDEBWM dapat memberikan perkhidmatan terbaik seperti dicapai di Klang, Ampang Jaya dan Selayang dengan aduan sampah menurun sehingga 95 peratus dalam tempoh tiga bulan.

“Pengurusan sisa pepejal berteraskan Smart Waste Management sebagai satu solusi berkesan dan terbaik bagi memastikan tahap kebersihan yang tinggi dapat dilaksanakan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Kompaktor Kontraktor di MPKj, di sini, pagi tadi.

Hadir sama,  Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir dan Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuti Bakar.

Amirudin berkata, dengan aset lori kompaktor berteknologi moden dilengkapi GPS, tracking, CCTV, reverse camera dan system AVLS yang mampu memantau dan mengesan pergerakkan semua lori akan mencapai sistem pengurusan sampah yang lebih sistematik.

Katanya, sehingga kini KDEBWM memiliki 172 unit kompaktor bagi operasi sampah domestik dan 170 unit lori Arm Roll bag skop pembersihan awam untuk suku ketiga 2018.

“KDEBWM akan memiliki lebih 300 bagi setiap unit kompaktor dan Arm Roll untuk digunakan di kawasan Majlis Perbandaran dan Daerah.

“Dana kewangan yang diberikan kerajaan negeri telah pun dibelanjakan untuk pembelian lori-lori tersebut bagi memastikan kutipan dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut mengumumkan, KDEBWM bersetuju menyumbangkan 100 unit tong sampah untuk diagihkn di kawasan Kajang bagi menggantikan tong sampah yang uzur dan tidak mencukupi.


Pengarang :