PBTSELANGOR

MPSepang laksana dasar bersih restoran 24 jam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEPANG, 29 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan memperkenalkan dasar panduan khas bagi menjalankan pemantauan pembersihan terhadap operasi restoran 24 jam.

Timbalan Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, keperluan pelaksanaan dasar baru itu bagi memastikan pembersihan restoran 24 jam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan berkenaa terjamin.

“Setakat ini, tiada jadual atau arahan pembersihan standard ditetapkan berkenaan tatacara atau prosedur bersesuaian bagi tujuan pembersihan premis 24 jam.

“Justeru, MPSepang menjalankan kajian dan mengambil inisiatif bagi menetapkan panduan jadual pembersihan khas restoran serta kedai yang beroperasi 24 jam.

“Inisiatif ini bertujuan mewujudkan prosedur pembersihan yang menjadi rujukan kepada pemilik premis 24 jam, selain mendidik amalan mementingkan kebersihan di kawasan premis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Ahli Majlis MPSepang, Bilangan 6/2018 di Bilik Semarak, di sini, pada 27 Jun lalu.

Pada masa sama, katanya, pemilik premis 24 jam disaran menekankan tiga elemen sesi pembersihan di premis perniagaan dan restoran masing-masing.

“Ia membabitkan sesi 1 pagi, sesi 2 petang dan sesi ketiga pada waktu malam.

“Pada setiap sesi pembersihan, operator perlu menghentikan operasi bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan,” katanya.


Pengarang :