Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

MPSJ periksa 2,200 premis makanan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 25 JUN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuat pelbagai pemeriksaan ke atas lebih 2,200 premis makanan di kawasan pentadbirannya setiap bulan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, kesemua premis berkenaan diperiksa mengikut jadual harian dilakukan 30 anggota penguat kuasa Bahagian Kesihatan MPSJ.

“Hasil pemeriksaan itu, kita akan mengadakan mesyuarat bulanan bersama ahli majlis dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung pemeriksaan terbabit.

“Pemeriksaan dilakukan setiap hari dan ia dilakukan secara mengejut tanpa dimaklumkan kepada pemilik,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zulkarnain berkata, antara yang akan diperiksa termasuk pengendalian makanan, kebersihan dalam premis, kemudahan perangkap minyak, sinki, tandas dan penyelenggaraan udara dalam kedai.

Katanya, selain itu turut dinilai ialah kadar pencahayaan dan keadaan lantai serta syiling dalam premis makanan.

“Kesemua premis akan diberi gred bermula daripada A hingga D mengikut tahap kebersihan masing-masing.

“MPSJ terpaksa membuat pemeriksaan ini setiap hari memandangkan ada pemilik premis makanan yang culas, apabila hari ini kita baut pemeriksaan, kedai mereka bersih, namun esoknya menjadi kotor, mahu atau tidak, pemeriksaan mengejut perlu dilakukan setiap hari,” katanya.


Pengarang :