PBTSELANGOR

MPSJ proaktif sedia bilik gerakan hadapi kecemasan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Bersempena Hari Raya Aidilfitri Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah mengambil langkah proaktif mengaktifkan Bilik Gerakan MPSJ bagi pengurusan aduan kecemasan dan bencana yang mungkin berlaku semasa musim perayaan ini.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, seramai 39 kakitangannya ditugaskan pada satu-satu masa bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar.

Katanya antara anggota yang terlibat daripada pasukan PANTAS, penguatkuasa MPSJ, kakitangan dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Kejuruteraan dan dari Jabatan Khidmat Pengurusan.

“Bilik gerakan ini akan beroperasi seawal jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam.

“Anggota yang bertugas telah bersiap siaga menerima segala jenis aduan daripada orang ramai samada untuk diambil tindakan ataupun diselaraskan dengan pihak berkaitan.

“Selain itu, pasukan PANTAS serta wakil jabatan teknikal terlibat juga telah ditugaskan untuk memantau aduan perkhidmatan asas MPSJ serta membantu agensi keselamatan yang lain sekiranya diperlukan,” katanya selepas Demonstrasi Persiapan Anggota MPSJ Dalam Menghadapi Kecemasan dan Bencana Sempena Cuti Perayaan Aidil Fitri 2018 di Arena MPSJ, semalam.

Azfarizal berkata, orang awam boleh menghubungi MPSJ di talian 03-80247700 sekiranya terdapat aduan yang memerlukan tindakan segera dari pihak MPSJ.

Dalam perkembangan lain, Azfarizal memaklumkan kaunter perkhidmatan MPSJ di Ibu pejabat serta Pejabat Cawangan akan ditutup pada 15 hingga 17Jun dan hanya akan beroperasi semula pada 18 Jun (Isnin).

Orang awam boleh menggunakan mesin kiosk atau melayari laman sesawang MPSJ www.mpsj.gov.my bagi membuat sebarang urusan yang berkaitan.

Manakala Kaunter Pandu Lalu akan dibuka pada 20 Jun bermula 9.00 pagi hingga 4.00 petang.


Pengarang :