PENDIDIKANSELANGOR

Naib Canselor UNISEL akui pernah kecil hati dengan TV3

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JUN: Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman mengakui pernah berkecil hati dengan stesyen televisyen TV3 apabila enggan menyebut nama UNISEL secara terbuka.

Katanya, insiden tersebut berlaku ketika siaran berita mengenai pertandingan sukan antara universiti-universiti tempatan.

“Pada waktu itu UNISEL memenangi tempat kedua, sewaktu pengumuman kemenangan di kaca TV3, pemberita hanya menyebut tempat pertama dan ketiga, pada waktu itu saya tergamam dan berkata dalam hati sampai hati, hendak sebut nama UNISEL secara terbuka pun mereka tidak mahu.

“Tetapi sekarang semuanya sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ruang yang sudah terbuka luas ini perlu digunakan sepenuhnya, dan UNISEL perlu diberi tempat seadilnya melalui media arus perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa Pegawai Komunikasi Korporat Negeri Selangor bersama media anjuran UNISEL di Shah Alam Convention Centre (SACC) semalam.

Mohammad Redzuan berkata, sebelum ini media yang dipegang Barisan Nasional (BN) sering menggabarkan UNISEL sebagai universiti kusam dan pelbagai andaian negatif dilemparkan.

Bagaimanapun hakikatnya UNISEL melalui transformasi menggalakkan sehingga kini mampu menyediakan pendidikan percuma kepada masyarakat tidak kira latar belakang.

“Malah UNISEL juga sudah mencatatkan keuntungan, staf juga berpeluang mendapat bonus serta kenaikan gaji, ini menunjukkan UNISEL semakin cemerlang walaupun berada di bawah kerajaan pembangkang sebelum PRU14.

“UNISEL kini mampu bergerak maju namun perlu sentiasa bergerak bersama media bagi membolehkan orang ramai di luar sana tahu bahawa apa yang ditawarkan pada masyarakat.

“Pendidikan sepatutnya dinikmati oleh semua masyarakat, misi akan diteruskan dengan perkembangan politik negara saya yakin UNISEL akan terus melonjak,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :