NASIONAL

Najib mungkin didakwa ubah wang haram, seleweng harta

KUALA LUMPUR 16 JUN: Pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedang mempertimbang untuk mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas pertuduhan pengubahan wang haram dan penyelewengan harta, kata sumber.

Najib yang mengasaskan 1MDB pada 2009, menjadi subjek siasatan pengubahan wang haram dan rasuah, selepas beberapa laporan mendakwa berjuta dolar masuk ke akaun peribadinya daripada syarikat itu dan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Bekas Perdana Menteri itu secara konsisten menafikan sebarang salah laku berkaitan dengan syarikat pelaburan strategik negara terbabit.

Najib, 64, tewas mengejut ketika pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, yang menyaksikan Malaysia bertukar kerajaan buat pertama kali sejak memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 1957.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri sebelum pilihan raya itu, berikrar akan mengembalikan dana yang didakwa dilarikan daripada 1MDB, selain menghukum mereka yang bertanggungjawab.

Selasa lalu, Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas dilaporkan berkata pihaknya sedang meneliti kemungkinan pertuduhan jenayah dan sivil, selepas menerima kertas siasatan berhubung 1MDB daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber rapat dengan penyiasatan itu memberitahu Reuters, Najib mungkin didakwa dengan tuduhan penyelewengan harta secara tidak amanah mengikut Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, sumber itu enggan dikenali kerana tidak dibenarkan berbicara mengenai perkara itu.

Pertuduhan di bawah kesalahan terbabit membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda dan sebat, namun undang-undang turut melarang individu berusia lebih 50 tahun daripada dikenakan hukuman sebat.

Menurut sumber, Najib juga mungkin berdepan pertuduhan pengubahan wang haram, yang membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai wang haram yang diubah itu.

Ketika ini, bergantung kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada menerima atau menolak cadangan itu, mendakwa dengan pertuduhan berbeza atau meneruskan siasatan lanjut.

Peguam Negara sebelum ini membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB manakala SPRM dan Pejabat Peguam Negara tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta mengulas mengenai pertuduhan itu.

Jurucakap Najib juga tidak memberi sebarang maklum balas ketika diminta mengulas mengenai perkara sama. Sebelum ini, Najib dilaporkan yakin mahkamah akan memutuskannya tidak bersalah jika beliau didakwa atas dasar politik.

Dakwaan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB menjadi subjek siasatan antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

Jabatan Kehakiman (DoJ) AS sebelum ini mendakwa lebih AS$4.5 bilion (RM18 bilion) dilarikan daripada 1MDB, dengan kira-kira AS$700 juta (RM2.8 bilion) daripadanya dikatakan masuk ke akaun bank peribadi Najib.

Isnin lalu, polis menyerbu sebuah rumah di Putrajaya yang dikaitkan dengan Najib, iaitu premis terkini yang disiasat berkait dengan skandal 1MDB.

Dalam serbuan di beberapa premis yang turut dikaitkan dengan Najib sebelum ini, pihak berkuasa merampas ratusan beg tangan mewah dan beberapa beg lain berisi barang kemas dan wang tunai.

Minggu ini, SPRM memanggil empat individu untuk membantu siasatannya 1MDB, termasuk pembantu Jho Low yang juga individu utama dalam skandal berkenaan, yang dikait rapat dengan Najib serta keluarganya.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :