SELANGOR

Nasib anak-anak Rohingya terbela

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 10 JUN : Nasib menimpa anak-anak pelarian Rohingya kini terbela apabila mereka bakal mendapat sekolah baharu dengan persekitaran lebih baik berbanding sebelum ini.

Atas keperluan itu, Pusat pengajian sedia ada, Knowledge Garden Learning Centre School (KGLCS) yang sudah 15 tahun beroperasi sejak 2003 perlu berpindah berikutan lokasi itu mahu dibangunkan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sudah tiba masanya anak-anak etnik Rohingya bersekolah di sini, beralih angin ke lokasi baru.

“Untuk sementara waktu, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menawarkan premis mereka untuk dijadikan sebagai gantian kepada sekolah KGLCS ini dan ia merupakan berita gembira buat etnik Rohingya kerana tempat baru itu lebih selesa dan besar.

“Saya berharap etnik Rohingya gembira dengan berita ini untuk berpindah ke tempat baharu itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Agihan Bakul Makanan yang diadakan di sini, hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, MPSJ menawarkan premis berkenaan bagi mengelakkan bangunan itu terbiar tanpa diguna pakai.

Pada masa sama, beliau menyeru mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan bagi membaik pulih premis itu supaya dapat dijadikan seperti pusat pembelajaran.

Mengulas mengenai tarikh pemindahan mereka ke sekolah baharu itu, Dr Siti Mariah berkata, ia akan berlaku secepat yang mungkin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang itu juga berkata, beliau akan membawa perkara itu ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk dibincangkan dengan lebih lanjut bagi mengiktiraf kehadiran etnik Rohingya ini.

“Ia kerana terdapat segelintir daripada golongan ini tidak mempunyai kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) jadi sukar bagi mereka untuk diiktiraf sekali gus mudah dieksploitasi,” katanya.

Terdahulu, KGLCS ditubuhkan pada tahun 2003 dan menempatkan pelajar daripada usia enam hingga 12 tahun. Namun, sehingga kini, jumlah pelajar sudah mencecah 100 orang.

Pelajar diberikan pendedahan pendidikan asas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Mereka juga diajar Bahasa Arab dan Al-Quran.


Pengarang :