BERITA UTAMAEKONOMINASIONAL

Neelofa, Vivy mahu kerajaan pandang serius isu barangan tiruan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Pengarah Urusan NH Prima International Sdn Bhd, Noor Neelofa Mohd Noor dan Ketua Pegawai Kreatif Fashion Valet (FV), Vivy Yusof mahu kerajaan memandang serius isu barangan tiruan.

Kedua-dua pelopor utama industri fesyen muslimah itu meluahkan kebimbangan tersebut ketika dipanggil Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan Tun Daim Zainuddin tengahari tadi.

Neelofa ketika ditemui SelangorKini selepas pertemuan itu memberitahu, beliau kecewa berikutan isu barangan tiruan terutamanya membabitkan jenama Neelofar Hijab semakin menjadi-jadi.

“Dalam pertemuan tadi, saya turut memberitahu bahawa kami telah pernah bekerjasama dengan Kastam Malaysia mahupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK), namun masalah barangan tiruan masih tidak dapat diselesaikan.

“Namun saya telah mencadangkan kepada majlis penasihat kerajaan supaya masalah ini turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), iaitu mana-mana peniaga online yang menjual barangan tiruan ditarik kembali lesen mereka,” katanya.

Vivy pula memberitahu, masalah barangan tiruan yang melibatkan jenama tudungnya, Duck turut menerima tempias kerugian gara-gara barangan tiruan terutama daripada Vietnam dan China.

Katanya, masalah tersebut sekaligus menjejaskan usahawan tempatan termasuk jenama terkenal lain seperti Ariani.

“Sudah tentu ia adalah masalah yang besar dan perlu diselesaikan segera,” katanya ketika ditemui di Menara Ilham.

Selain Neelofa dan Vivy, turut menemui Majlis Penasihat Kebangsaan ialah Pengarah Urusan Les’ Copaque Production, Burhanuddin Radzi yang terkenal dengan siri animasi Upin Ipin.

Majlis Penasihat Kerajaan dengan lima pakar ekonomi itu baru-baru ini diberi mandat oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kerajaan yang antara lain bertugas mencari atau mewujudkan formula efektif dalam menghentikan ketirisan serta pembaziran oleh kerajaan terdahulu.


Pengarang :