PELANCONGAN

Neutral sokong parti politik, penjawat awam perlu bantu dasar Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 1 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menuntut penjawat awam supaya bersifat ‘neutral’ tanpa menyokong kepada parti kerajaan semata-mata.

Beliau berkata, wujud persekitaran pegangan politik dalam kalangan penjawat awam sebelum ini yang hanya berpihak kepada parti kerajaan sahaja.

Katanya, senario itu sekali gus menimbulkan persoalan terhadap komitmen mereka dalam membantu Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) melaksanakan manifesto pentadbiran gabungan itu.

“Kita dapati ramai pegawai kerajaan sama ada dengan sukarela atau tidak mengambil bahagian berkempen untuk Barisan Nasional dalam pilihan raya, sebelum ini.

“Kerajaan PAKATAN sangsi terhadap pegangan politik mereka, sama ada masih menyokong parti lama atau kerajaan sekarang, selepas pentadbiran Putrajaya berubah.

“Kami berharap pegawai kerajaaan ini boleh mengubah pendirian mereka dengan lebih (bersifat) neutral terhadap pegangan politik mereka.

“Tumpuan utama mereka adalah terus membantu kerajaan melaksanakan dasar sedia ada kini,” katanya pada sidang media Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Menara Yayasan Selangor, hari ini.

Terdahulu, sidang media berkenaan diadakan sebagai lanjutan mesyuarat kali pertama Majlis Presiden Pakatan Harapan yang turut dihadiri Ketua Umum gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar antara pimpinan utama gabungan itu yang turut hadir, pada sidang media itu.

Dalam perkembangan sama, Tun Dr Mahathir turut mengulas isu pemberian bantuan kewangan membabitkan penjawat awam di bawah klasifikasi lantikan kontrak ketika pentadbiran Barisan Nasional, sebelum ini.

Beliau berkata, tidak wujud sentimen ‘penganiayaan’ terhadap penjawat awam berstatus kontrak apabila penamatan serta merta diputuskan Kerajaan PAKATAN.

“Mereka juga turut menerima insentif bantuan hari raya. Kita bukan menganiaya mereka. Ketika ini kita dapati lebih 17,000 penjawat awam berstatus kontrak ditubuhkan parti lawan.

“Jawatan itu tidak diperlukan, kerana ia hanya diberikan kepada orang parti yang berkempen secara terang-terangan memakai baju biru dalam berpolitik.

“Atas alasan inilah, maka kami mempersoalkan kesetiaan mereka terhadap parti politik,” katanya.


Pengarang :