NASIONAL

Nombor pendaftaran ‘Malaysia’ sempena sambutan kemerdekaan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 JUN: Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan siri nombor pendaftaran ‘Malaysia’ sempena ulang tahun sambutan kemerdekaan ke-61.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bidaan akan dibuka kepada orang ramai bermula 2 Julai sehingga 16 Julai ini dan keputusan tawaran akan diumumkan, pada 15 Ogos ini.

Katanya, tawaran bidaan nombor pendaftaran istimewa itu membabitkan 10,000 siri bermula daripada Malaysia 1 sehingga Malaysia 9999.

“Pelaksanaan nombor pendaftaran ‘Malaysia’ ini bagi memupuk semangat cinta pada negara selaras tema Hari Kemerdekaan ‘Sayangi Malaysiaku’ seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ia juga dibuat selaras keputusan Jemaah Menteri, pada 30 Mei lalu dan ia akan diikuti siri negeri lain antaranya ‘Selangor’, ‘Perak’ dan semua negeri di Malaysia tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan tawaran nombor pendaftaran istimewa itu dijangka mampu menjana hasil memberangsangkan kepada kerajaan.

“Ini berdasarkan kepada hasil diperolehi melalui tawaran dan penjualan nombor pendaftaran indeks siri ‘V’ serta ‘F’ lalu yang masing-masing merekodkan hasil RM22.48 juta juga RM17.55 juta.

“Manakala harga bidaan tertinggi yang pernah direkod bagi kedua siri itu adalah RM989,780 bagi nombor pendaftaran V1 dan RM836,660 bagi bidaan nombor pendaftaran F1,” katanya.


Pengarang :